-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Wednesday

..:: Jatuh Cinta Lagi : Bisik Hati ::..

Jam sudah merangkak kurang 15 minit sebelum pukul lima petang. Kalau ikutkan waktu bekerja aku yang rasmi jam lima dah boleh 'thumb out'. Tapi kerja yang masih menunggu giliran untuk disudahkan membuatkan aku setia terkaku atas kerusi dengan 'desktop' Hak Milik Kerajaan. Baru sebentar tadi kurang 10 minit aku mengunci Bilik Seminar yang digunakan untuk program di bawah Unit Keusahawanan Kolej. Aku di kolej secara hakikinya bertugas sebagai pensyarah. Tapi dalam masa yang sama beberapa tugas sampingan perlu juga diberi perhatian dan dilunaskan dengan penuh dedikasi. Amanah itu penting untuk rezeki yang halal. Itu prinsip yang cuba aku pegang dan amalkan.
Tangan masih rancak mengetuk papan kekunci. Mata menatap skrin monitor. Sesekali menjeling jam di sisi. Otak fokus kepada kerja. Tapi hati aku tidak lekat di situ. Encik Sayang akulah puncanya. Tepat jam 5 nanti genap 10 jam kami tak berhubung selepas menamatkan perbualan di telefon semalam. Rindu sudah terasa sarat sangat. Tapi aku cuba sedaya upaya mengawal perasaan aku. Aku belajar satu perkara tentang diri aku sejak Encik Sayang aku wujud dalam hidup aku. Mengawal perasaan dengan lebih matang. Secara jujur dan ikhlasnya aku sangat manja bila melibatkan perkara-perkara kasih sayang dalam hidup aku. Apatah lagi dengan seseorang yang dengannya aku berbicara tentang perasaan rindu dan sayang. Tapi dia sangat matang dalam melayan kerenah manja aku. Alhamdulillah aku juga semakin bijak mengawal perasaan yang kadang-kadang kerasukan.
Semenjak pagi tadi sememangnya aku sudah merasa terlalu rindu. Rindu yang amat untuk mengetahui keadaan Encik Sayang. Tapi aku tahan dan tahan. Aku pujuk hati agar belajar memahami perhubungan ini baik-baik belaka apatah lagi dengan keyakinan dan kejujuran. Sehingga aku akhirnya jadi sebati dengan perasaan aku hari ini. Hati kecil yang rasional selalu sahaja menenangkan gelodak rasa yang kerasukan. Aku kira sememangnya aku perlu memahami keadaan kerjanya yang tidak sama situasinya dengan kerja aku di sini. Aku pujuk hati jangan sampai membuatkan dia bosan dengan terjahan panggilan dan pesanan ringkas. Hati kecil aku juga selalu sahaja berbisik supaya membiarkan perasaan rindu itu menjadi banyak sebab ia akan menjadi manis dan indah. Namun aku akur, ada juga perasaan yang nakal menyuntik keraguan dan sangsi terhadap hubungan yang sebenarnya indah. Aku takut kalau dia meninggalkan aku nanti. Aku bimbang kalau sebenarnya dia tidak jujur. Aku bimbang kalau dia hanya berniat mempermainkan aku.
" kenapa saya nak mempermainkan awak? sayang tolong jangan buat macam ni...saya ikhlas dengan awak sayang..." segera aku beristighfar ketika suara tenangnya menampan telingaku.
Jemariku berhenti menaip. Aku bersandar. Menarik nafas dalam-dalam hingga terasa meresap ke seluruh anggota dan urat saraf. Tahan sebentar dan aku hela lega. Aku tidak akan mampu menipu kalau sebenarnya terlalu banyak keraguan dalam hatiku berkenaan hubungan antara aku dan dia, Encik Sayang aku. Sememangnya aku masih terlalu takut untuk melaluinya buat kesekian kali. memulakan sesuatu yang baru sekali lagi dalam hidup aku. Aku tidak berselindung tentang perasaan bimbang aku terhadap hubungan yang baru hendak bermula. Malah sering sahaja dia setia memujuk supaya aku yakin dan bangun membina kehidupan. Katanya, aku perlu adil kepada diri sendiri. Ya betul. Disebabkan itu, aku berani menguak tirai hati memberi ruang dia mengintai hati aku. Aku tahu sedikit sebanyak dia cuba membuka pintu hati aku lebih luas supaya dia boleh memenuhkannya dengan semua perasaan yang wujud dalam hatinya. Itu sememangnya aku jelas.
" saya tak berani memberikan harapan dan meletakkan harapan awak..." begitu aku membalas ketika dia meyakinkan aku perhubungan kami boleh dipupuk dan dia tidak akan memaksa.
" saya akan tunggu..." begitu jawapan balasnya pula saat aku katakan aku rela melepaskan dia kalau dia lelah menanti keyakinanku wujud dalam hubungan kami. Mestilah aku tidak mahu memangsakan dia andai aku terlalu sukar memberikan dia ruang biarlah dia mencari yang lain menjadi suri hidupnya. Walaupun kadangkala aku terlalu berharap dia setia di sisiku kerana aku sedang menerima keselesaan yang dia bentangkan buat aku.
Tapi, di akhirnya semua bisikan akan terbang melayang sebaik mendengar ketawa kecil dan nada tenang suara Encik Sayang aku di seberang talian.

*** *** ***
Jam menganjak ke angka 6.30 petang ketika aku selesai mengemas meja kerja dan menutup semua bekalan elektrik yang berkaitan dengan meja kerjaku. Telefon aku capai. Masih sunyi sama seperti seharian tadi. Melangkah ke pejabat pentadbiran. 'Thumb out' and berlalu ke kereta. Aku panaskan enjin.
~Aku : Assalamualaikum sayang...kalau abang dah selesai kerja nanti telefon sayang ye...rindu...~ sending...sent.
Aku tahu dia akan membaca sms tersebut cuma mahu dengan tidak untuk membalasnya sahaja. Seperti kebiasaannya aku tidak perlu menunggu. Menutup pintu kereta dan memacu pulang ke rumah.
" kita pergi tengok rumah Anas malam ni?" emak menerjah sebaik aku sampai di rumah. Seperti kebiasaannya itu bukan soalan sebenarnya tapi satu makluman dengan intonasi yang silap. Aku mengangguk. Terus berlalu ke bilik selepas memberikan persetujuan untuk bertolak ke destinasi selepas urusan maghrib kami selesai. Mandi dan bersiap seadanya. Memanaskan enjin kereta yang sudah 2 hari tak dibawa keluar. ALZA 5776. Selesai memasukkan barang kami bergerak ke destinasi.
~Aku : Assalamualaikum...sorry saya ganggu lagi...tak apa tak perlu balas SMS ni...saya nak ke shah alam...sambunglah kerja awak...~ itu bukan ayat merajuk atau mengada-ngada. Itu gaya bahasa tenang aku dan Encik Sayang. Aku dan dia sama faham kami tidak perlu meleret-leret untuk makluman sebegitu. Aku teruskan pemanduan tenang ke destinasi.
~Encik Sayang : Saya baru habis kerja...tak apa awak tak ganggu pun~ balasan pertama selepas sejam. Aku juga sudah hampir sampai ke destinasi yang dituju. Jam dashboard kereta menunjukkan hampir 10 malam. Dia pulang awal sedikit dari semalam. Ada senyuman yang sukar untuk lahir di seulas bibirku. Senyuman yang sepatutnya lahir kerana dia sayangkan aku. Tentulah dia maklumkan melalui sms yang tidak perlu aku paparkan di khalayak. Senyuman itu jugalah yang tidak mahu lahir dari bibirku ketika simpati bertimpa dengan keadaan kerjanya yang sebegitu.
Apa juga keadaannya aku berharap hubungan ini berkekalan baik dan tenang. Penuh dengan pemahaman dan diplomasi atas ruang kerja masing-masing. Antara aku dan dia masing-masing memahami perasaan rindu dan sayang yang makin berkembang biak dalam hati masing-masing.

~zara aqeela~

No comments: