-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Wednesday

..:: Jatuh Cinta Lagi : Saya Sayangkan Awak ::..

Malam semakin larut dengan hujan lebat di luar sana. Sekali sekala guruh berdentum. Rindunya aku bukan kepalang. Rasanya baru tadi mendengar suara Encik Sayang yang aku kira semakin hari makin jelas kemanjaan dan gaya bahasa romantiknya. Aku suka sebenarnya mendapat perhatian begitu.
Semalam petang selepas hampir 24 jam tidak mendengar suaranya, dia hubungi aku. Suara yang agak jauh dari pendengaranku memberitahu situasinya. Keluar daerah lagi.
"abang minta maaf sayang..." dia bersuara lagi ketika aku tidak memberikan sebarang respon terhadap maklumannya bahawa dia sedang dalam  perjalanan ke Negeri Sembilan.
"kenapa nak minta maaf ni? abang kerja kan...sayang faham dan akan terus faham..." aku sedang meluahkan kejujuran perasaanku. Sememangnya itulah hakikat dalam hubungan kami yang sudah menjangkau sebulan ini. 
"abang selalu kerja luar...dan tiba-tiba..."
"sayang faham abang kerja...lagipun kerja abang lebih penting..."
"sayang lebih penting dalam hidup abang sekarang..." dia memotong. Perlahan airmata mengalir ke pipiku. "please sayang...sayang sangat penting untuk abang...sebab tu abang berusaha sungguh-sungguh sekarang ni supaya kita ada banyak masa bersama nanti..." dia menyambung lagi. Aku menganggukkan kepala berulangkali seakan-akan dia mampu melihatnya.
"sayang faham bang..." aku ingin dia maklum semua itu. Aku mahu dia mengerti semua itu.
Aku akui, ada masanya perasaan rindu yang keterlaluan itu membuatkan aku memikirkan banyak kemungkinan yang negatif tentang dia yang jauh di sana. Sering sahaja dia merasakan aku memikirkan dia curang. Hakikatnya yang aku bimbangkan adalah keadaan dirinya yang kelelahan dengan bebanan kerja yang diluar jangkaanku. Kesihatan dan kebajikannya yang jauh dari pandangan mata kasarku. Naluri kekasihku tidak mampu menipu kalau terlalu banyak yang negatif menerjah. 
"saya sayang awak seorang sahaja janganlah risau sayang..." begitu dia membalas bila aku mula mengeluarkan nada-nada cemburu yang baginya sangat manja. Aku tidak mampu lagi membalas bicaranya saat itu. Semakin hari aku rasa semakin sayang kepadanya. Ada masa-masanya aku terlalu rindukan dia. Lebih-lebih lagi saat dia tidak mengubungiku dalam tempoh masa yang panjang. Bukan asing keadaan itu dalam hubungan cinta kami berdua. 
"berapa lama kali ni bang?" aku menyoal ringkas dan aku yakin dia faham.
"abang tak berani janji sayang..." dia diam seketika. Aku juga tidak membalas. "sayang..."
"ye bang..." aku menunggu bicara dia seterusnya.
"abang minta maaf ye sayang..."
"kenapa ni bang?"
"setiap kali jadi macam ni abang rasa serba salah sangat...abang takut kalau sayang tak yakin dengan kasih sayang abang..."
"kenapa fikir macam tu pula?sayang dah bagitahu dulu kan...masa awal kita kenal...sayang faham keadaan kerja abang dan insyaAllah sayang akan terus faham..." aku menjelaskan lagi. Aku yakin dia memahaminya.
"abang tak nak kehilangan sayang..."
"sayang pun tak nak kehilangan abang..." 
Aku kira kerap juga nada serius lahir dari bicara kami petang tersebut. Entahlah. Walaupun aku kadangkala kurang yakin dengan perasaan aku sendiri, tapi aku sedikit sebanyak mula merasai kehadiran dia dalam hidup aku. Sedikit sebanyak mula merasa kehadiran perasaan dalam hati aku. Perbualan kami akhirnya tamat selepas bersembang hampir 30 minit. Itupun dengan berat hati aku lakukan. Mungkin dia juga begitu.

*** *** ***
Hampir seminggu Encik Sayang aku berada di Negeri Sembilan. Semalam ketika aku sedang bermalas-malas selepas Maghrib, dia menghubungiku. Barulah aku maklum dia akan pulang lebih lewat dari masa yang dijangka. Itu juga sudah kebiasaan yang aku kira amat aku fahami. Kerinduanku juga semakin lali dengan suasana hubungan kami berdua.
Berdasarkan ceritanya tentang jadual kerja di negeri adat perpatih itu, aku yakin dia akan menyambut kedatangan Ramadhan di sana. Hati aku yang selalu sahaja kebimbangan mula risau dengan keadaan kerjanya yang aku tahu berat. Kadangkala hingga melewati tengah malam. Bagaimana keadaannya nanti untuk bersahur dan berbuka.
"sayang...abang dah biasa macam ni..." begitu dia memujuk kebimbanganku yang terzahir. Tentulah biasa baginya tapi tidak bagiku. Namun, aku akur kerana aku perlu sentiasa bersedia dengan keadaannya yang begitu.
Malam itu, tidak banyak yang kami bualkan melainkan beberapa berkara tentang kerja dia dan aku. Melayan ceritanya tentang situasi yang kadangkala membuatkan dia tidak selesa dengan tapak kerjanya buat masa itu.
"sabarlah awak...kita cari rezeki kan...dugaan tu perkara biasa..." aku cuba memujuknya ketika dia merungut tentang beberapa pekerja yang menunjukkan prestasi kurang baik.
"hhhmm..tu lah...saya tengah bersabarlah ni..." dia membalas.
"sayang nak tahu tak?"
"apa dia bang?" laju aku memberikan respon.
"saya sayang awak..."
"saya ingatkan awak tak sayangkan saya..." sengaja aku mengusik.
"awak tak tanya..."
"ooo...kena tanya baru nak cakap?" aku menggiat lagi.
"malu lah saya nak cakap nanti awak tak percaya pula..." dia menokok lagi.
Sering sahaja dia mengucapkan sayang dengan sungguh-sungguh bila sesekali dia ingin menyebutnya. Bagi dia sayang dan rindu itu sudah terlalu sarat sampai tidak mampu diungkapkan dalam perbualan kami. Tapi dia sering sekali ingin aku memahami dan meyakini perasaannya terhadap aku.
 

~zara aqeela~