-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Wednesday

..:: Surat Untuk Awak ::..

Saya tak tahu di mana saya dan kamu masa catatan ini tersiar. Saya pun tak mampu nak mengandaikan apakah situasinya kita berdua saat ini. Cuma saya pasti kamu sedang bahagia dengan dia yang memang kamu pilih sejak dulu. Sebelum kita mengambil keputusan untuk bersama menjalin hubungan yang menyakitkan.

Saya tahu awak tidak pernah cintakan saya pun. Saya tahu ucapan kasih dan rindu awak hanya untuk menyenangkan hati saya selama ini. Tapi saya bahagia dan gembira. Saya harap satu hari nanti akan ada realitinya insan yang datang mengucapkan kata-kata seperti yang awak ungkapkan untuk saya.

Awak, jauh di sudut hati saya, saya sangat cemburukan dia. Sebab cinta dan sayang awak untuk dia bukan pura-pura. Kasih dan rindu awak untuk dia bukan main-main. Tapi semua dari hati awak untuk hati dia. Saya cemburu sebab awak meletakkan dia terlalu tinggi hingga saya jadi galang gantinya untuk awak melepaskan semua perasaan. Akhirnya awak pergi kepada dia bila masanya tiba. Akhirnya saya awak tinggalkan sebab hubungan kita tidak langsung berharga.

Saya memang tidak pernah tahu kenapa saya memilih untuk semua ini. Membiarkan diri saya disakiti dan dilukai. Membiarkan diri saya menangis dan ditertawa. Saya tidak tahu dan memang tidak mahu tahu awak. Saya cuma tahu manisnya rindu yang datang dalam hubungan kita. Saya cuma tahu indahnya ada tempat bermanja. Saya cuma tahu bahagianya ada seseorang di sisi saat saya memerlukan. Walaupun di seberang sana hakikatnya awak punya ruang kasih sayang yang sangat banyak tapi bukan untuk saya. Walaupun di pihak awak realitinya awak punya perasaan cinta yang melimpah ruah bukan untuk saya.

Awak, saya memang tidak pernah tahu hati awak yang sebenarnya. Apa yang saya tahu awak curi hati saya sedikit demi sedikit. Awak berjaya buat saya rela membuka hati saya untuk awak teroka. Awak berjaya buat saya percaya dan yakin untuk bermain perasaan. Awak tahu kesakitan yang saya alami dan lalui. Awak mungkin tidak pernah sedar, tidak ada sebesar zarah pun yang saya rahsiakan dari awak. Semua perkara tentang semua benda ingin saya kongsikan dengan awak. Semua cerita dan situasi saya ingin awak mengerti. Saya tidak tahu sejauh mana penerimaan awak atas apa yang saya ceritakan.

Masa berlalu sangat laju kan? Hubungan kita ini sudah terjalin hampir dua bulan. Mungkin awak tidak sedar pun. Masuk bulan kedua ini saya mula merasakan awak menjauh. Mungkin awak tidak mampu melayan saya yang manja. Mungkin awak tidak mampu melayan saya yang perlukan perhatian. Atau pun mungkin awak rimas dengan sikap saya yang ingin berkongsi semua perkara dengan awak. Tapi inilah saya yang awak kata awak sayang. Inilah saya yang awak kata awak rindu. Inilah sikap dan sifat saya yang awak kata awak terima seadanya.

Setiap malam airmata saya tak pernah gagal untuk tumpah. Tidur berteman airmata memikirkan hubungan kita. Setiap detik jaga saya, hati saya kepedihan. Setiap saat degup jantung saya memberitahu kesakitan. Setiap waktu hela nafas saya memberitahu kesayuan. Saya tahu saya akan jadi begini. Saya tahu keadaan akan lebih sakit lagi. Saya tahu kondisi saya akan lebih teruk lagi. Saya tahu.

Awak, saya tak tahu selama mana awak mampu bertahan. Setahun? Atau lebih? Atau mungkin kurang? Entahlah. Tapi setiap kali saya bangun dari tidur dan setiap kali saya berbaring untuk lena, doa saya agar saya kuat menghadapi kehilangan orang yang saya sayang. Kehilangan orang yang saya cintai. Kehilangan teman hati. Sakit tau awak ditinggalkan pergi. Pedih sangat. Tapi saya yang pilih permainan ini. Saya harap saya kuat melaluinya.

Awak, saya tahu kita berjanji untuk kisah ini menjadi rahsia. Saya tahu kita berjanji untuk hubungan ini tidak terhidu. Tapi, bila awak pergi tanda awak menuju bahagia. Tinggal saya yang tidak tahu kesudahannya. Sebab tu saya memilih ruang ini. Bukan niat saya menjaja cerita hubungan kita. Tidak sama sekali memberitahu kekejaman awak. Tapi, saya nak dunia tahu awaklah orangnya yang membuat saya bahagia. Awaklah orangnya yang membuat saya ketawa dan menangis. Awaklah orangnya yang menjaga hati saya sebaik mungkin. Awaklah orangnya yang membuat saya tersenyum. Awaklah orangnya yang mengisi kekosongan hati saya. Awaklah orangnya yang memanjakan saya. Awaklah orangnya yang membuat saya rindu. Awaklah orangnya. Ya! Awak.

Awak, bila sampai masanya nanti awak pegilah dan jangan tinggalkan apa-apa pesanan buat saya. Jangan tinggalkan kata-kata indah yang membuatkan saya rindu dan kesakitan. Pergilah awak. Tinggalkan saya kerana saya memang ingin awak bahagia. Pergilah.

b...sayang memang bahagia dengan b...
walaupun sayang tahu b bukan hak sayang...
walaupun sayang tahu b akan tinggalkan sayang...

b...sayang tak pernah bohong bila sayang kata rindukan b...
walaupun sayang tak tahu penerimaan b...
walaupun sayang tak tahu perasaan b...

b...
terima kasih sayang...
untuk setiap detik yang b luangkan untuk sayang...
untuk setiap masa yang b habiskan untuk sayang...

~zara aqeela~