-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Friday

..:: Jatuh Cinta Lagi : Rindu ::..


Menghadap skrin monitor dengan tekun. Akulah orangnya. Leka dengan kerja yang sudah tertangguh sekian lama. Bebanan tugas sudah berubah kepada hobi. Beberapa kertas kerja yang perlu diperbaiki akibat ditolak mentah-mentah juga beberapa kertas kerja yang baru menjengah kotak masuk yang sudah 'termuntah' isinya. Kawan-kawan sekeliling nampaknya tenang dengan kerja masing-masing. Aku yang ternyata sangat kalut sebab baru mula bekerja selepas bercuti panjang. Susah juga aku memulakan kerja semula seminggu yang lalu bila otak aku macam terlalu lambat mencari rentak kerja. Mana tidaknya, suasana kerja baru, orang keliling yang baru dan bila masuk ke bengkel pelajar pun dah bertukar baru.
"hhhmmm" aku berhenti menaip. Berdiri tegak meregangkan urat saraf yang tegang. Sesekali menoleh beberapa orang pekerja kontrak di pintu belakang ruang kerja yang sedang memasang kunci keselamatan bernombor.
Sesekali aku menoleh telefon bimbit di sisi. Entah apa yang diharapkan sebenarnya. Aku menghela nafas. Bersandar. Ada sedikit perasaan aneh mengetuk tangkai hati. Rindu mungkin. Perkenalan sejak dua minggu lalu ada meninggalkan sedikit kesan dalam hidup aku. Aku biar menjadi panjang sebab aku agak trauma dan fobia juga dengan kisah silam yang tidaklah terlalu panjang.
"kau paranoid sangatla..." aku diam ketika luahan itu keluar dari mulut Angah. Adik aku. Entah. Mungkin juga. Tapi siapa yang memahami apa yang aku alami.
Pagi Jumaat ini memang dia tak hubungi aku langsung. Aku tak tahu apa yang bermain dalam fikiran dan hati aku sebenarnya. Cuma ada sedikit perasaan berharap dia akan hubungi aku dan biarlah tindakannya itu kerana perasaan rindunya pada aku. Dia memang sibuk dan sangat komited dengan kerjanya. Itulah dia yang aku kenali sejak perkenalan dua minggu lalu. Sebenarnya aku dah kenal dia hampir sebulan. Tapi baru dua minggu ini agak rapat dan dekat. Jadi aku rasa biarlah dia dengan kerjanya tanpa ada perasaan tekanan dalam hubungan yang baru nak bermula. Semalam ketika menerima panggilan dari 'dia' jam 11.45 pagi aku memang sedikit terkejut tapi teruja. Maknanya dia ingatkan aku. Aku tersenyum sendiri.
Aku kembali menyambung kerja yang tergendala. Tentulah aku perlu berhenti dari berkhayal dan berharap. ya! Itulah prinsip aku sekarang jangan terlalu berharap atau memberikan harapan untuk sesuatu yang aku memang belum pasti. Aku sebenarnya sedikit sukar menyesuaikan diri dengan beberapa perkara baru di tempat baru. Bukanlah berpindah pejabat. Sekadar bertukar kawasan kerja tapi tentulah sedikit sukar sebab keperluannya berbeza dengan apa yang sering aku gunapakai di ruangan lama. Mujurlah aku masih boleh 'mengangkut' sekali 'desktop' aku yang penuh dengan khazanah kerja aku selama hampir setahun. Itu betul-betul melegakan.
"jangan lupa senarai barang tu ye!" aku mendongak. Betul laungan ingatan untuk aku.
"ada atas meja akak tadi saya dah bagi..." aku menarik turun 'headphone' yang tersangut di kepala. Suara lunak merdu Anuar Zain menjauhi telinga.
"ye ke? oh ya okay!sorry..." Kak Faseh berlalu. Fasehahnoor Yaakob. Rakan sekerja yang menjadi semakin rapat dengan aku sejak setahun lalu. Ketika kami memulakan projek keusahawanan sempena Program Keusahawanan Peringkat Kebangsaan.

*** *** ***
Kekalutan beberapa staf di ruang kerja berhampiran menyedarkan aku waktu sudah merangkak jauh. Masing-masing sudah menyandang beg tangan sambil berbincang menentukan lokasi pilihan untuk makan tengahari. Juga lain-lain tempat yang mungkin boleh dituju memandangkan rehat Jumaat agak panjang. Aku bersandar. Memejamkan mata rapat-rapat. Sekadar melepas lelah. Bukan kebiasaan buatku lena di siang hari. Jauh di sudut hati masih ternanti-nanti dengan doa kecil dia akan hubungi aku nanti. Aku berlalu ke pantri, membancuh milo panas. Sekadar merungkai kedinginan yang terasa kerana ruang kerja sudah semakin lengang.
Tangan kembali mengetuk-ngetuk papan kekunci dan melarikan tetikus di ruangannya. Memilih laman web rasmi jika ada yang terkini. Sama sahaja. Kemudian beralih ke blog peribadi. Biasa sahaja semuanya. Berkongsi cerita itu dan ini. Termasuk kisah My Encik Sayang. Satu lagi label baru tercipta khas untuk dia yang membuat aku gusar. Selesai berkongsi cerita tentang dia di laman blog aku itu, aku kembali menyusun kerja yang perlu aku selesaikan sebelah petang. Sekitar jam 2.42 petang aku bangun untuk menunaikan solat Zohor. Kaki belum sempat melangkah, aku sudah tersenyum. Suara mendayu Astrid memberitahu aku siapa pemanggilnya. Tentulah dia yang aku tunggu sejak pagi.
" assalamualaikum awak..."
" wa'alaikumussalam..."
" sayang..." aku tahu dia sengaja memamnggil aku begitu. Sememangnya sejak seminggu lalu dia meminta izin memanggil aku dengan panggilan itu.
" ye bang..." aku yakin dia sedang tersenyum kerana aku memanggilnya dengan panggilan yang dia minta. Hakikatnya dia dan aku sebaya. Dia hanya tua dua minggu daripada usiaku. Tapi aku cuba menjadi permulaan hubungan ini selesa buat aku dan dia. Tapi panggilan-panggilan manja itu hanya wujud sekali sekala dalam perbualan kami. Kejanggalan itu masih ada.
" tak apa lah awak...saya tahu awak kerja..." begitu sahaja yang mampu aku balas setiap kali dia memohon maaf kerana susah sekali untuk menghubungi aku. Apa yang perlu aku jawab kerana sememangnya dia kesibukan kerana kerja. Aku cuba meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada dia untuk permulaan hubungan kami. Sememangnya di awal perkenalan aku tahu kesibukan kerjanya dan ruang masanya yang sangat terhad untuk kehidupan sosial. Tapi alhamdulillah dia cuba sedaya upaya meluangkan masa untuk aku dan meyakinkan aku tentang permulaan hubungan ini. 
" terima kasih sayang...sebab faham awak faham saya..." aku sekadar tersenyum. Tentulah aku cuba memahami dia sebagaimana dia belajar memahami aku. 
Lama juga kami bersembang hingga aku 'terpaksa' dengan berat hati memohon untuk menamatkan perbualan kami kerana jam dinding yang betul-betul di sebelahku merangkak ke angka tiga petang. Ada sedikit nada keberatan dalam bicaranya untuk menamatkan perbualan kami. 
" abang telefon sayang lagi nanti ye?" aku tersenyum dengan nada suaranya.
" okay boleh..." 
Telefon bimbitku berbunyi tepat jam 3.30 petang. Aku jadi sayu dan sebak bila dia mengakui rasa rindunya buat aku. Sejak keakraban yang semakin nyata dipamerkan dia semakin berani menyatakan rindu yang kadang-kadang membuatkan aku tersenyum sendiri. 
" saya percayakan awak...saya tahu awak jumpa dia sebagai client...atas urusan kerja...saya harap awak amanah dengan kepercayaan saya untuk awak..."
" ye sayang abang kerja tak ada sebab lain..." sekali lagi cerita seorang datin menjadi isi perbualan kami. Sejak seminggu lalu dia meluahkan ketidakselesaannya berurusan dengan seorang pelanggan yang berpangkat datin. Ada beberapa tingkah laku dan gaya pelanggannya yang membuatkan dia tidak selesa.
" tak apalah kalau macam tu..."
" sayang...kalau dulu saya berurusan dengan client macam ni saya boleh anggap tak apa...tapi sekarang saya tak boleh anggap biasa...saya nak awak tahu situasi saya macam mana..." airmata sudah bergenang di tubir mata aku saat aku rasa dia sedang membentang kejujuran di hatinya supaya meresap dalam hati aku.
" abang...sayang tahu...dan kalau awak nak tahu, saya memang cemburu sejak pertama kali awak cerita tentang 'mak datin' awak tu..."
" betul sayang cemburu?" ada nada teruja dalam soalannya.
" hhhmmm..." 
" alhamdulillah...kalau awak cemburu tandanya awak sayangkan saya..." aku tersenyum sendiri akhirnya ketika aku dengar gelak kecil yang lahir di seberang talian. 
Akhirnya, perbualan ditamatkan. Aku kembali menyambung beberapa kerja yang perlu aku selesaikan untuk hari itu. Esok aku perlu datang ke kolej untuk Program Jelajah Kampung yang dijadualkan berlangsung selama 3 hari hingga Ahad yang akan datang.


~zara aqeela~

No comments: