-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Thursday

..:: Jatuh Cinta Lagi : Saya Takut Awak Bosan ::..

Mengantuk dan lapar. Itulah yang sedang aku rasa sekarang. Kepenatan juga tapi sedikit sahaja. Sempat aku mendengar suara Encik Sayang sebelum naik ke apartment adikku sebaik sampai di Shah Alam tadi.
" abang minta maaf..." begitulah dia kebiasaannya bila menghubungiku selepas beberapa belas jam.
" kenapa abang ni...tak perlu minta maaf...abang kerja kan...saya faham..."
" saya takut awak bosan je sayang..." dahiku berkerut.
" kenapa?"
" sebab saya tak luangkan masa untuk awak...selalu sibuk dengan kerja saya..." aku tersenyum bagaikan dia mampu melihatnya. Tentulah aku tidak merasa begitu. Cuma aku masih belum mampu seratus peratus menyesuaikan diri dengan situasi kerjanya. Selebihnya biasa sahaja buat aku. Rindu yang sarat kerana sayang yang banyak buat dia.
Awal perhubungan dulu kerap juga dia menyatakan kebimbangan tentang aku yang mungkin merasa bosan dengan hubungan kami. Aku yang tidak begitu memahami maksudnya hanya menidakkan. Tentulah tidak! Masakan aku akan merasa bosan terhadap dia, Encik Sayang yang aku sayang dan rindu selalu. Tapi akhirnya malam ini aku faham. Itulah kebosanan yang dia maksudkan. Mungkin dia beranggapan aku berharap untuk keluar bersamanya selalu. Menghabiskan masa sama seperti pasangan kekasih yang lain.
Entah! Aku tidak pasti kalau itu satu masalah yang besar dalam hubungan kami. Secara jujurnya, sebagai wanita normal memanglah aku inginkan dia meluangkan masa untukku. Tapi, perlukah aku keruhkan keadaan dengan menjadikan situasi itu sebagai alasan merosakkan hubungan yang baru bermula. Tidak mungkin. Aku selesa dengan hubungan ini. Malah aku masih merasa kasih sayangnya walaupun dia sibuk. Aku juga jelas dengan perasaan rindunya yang kadang-kadang terpamer dengan gaya bicara yang menyenangkan buat aku. Walaupun rancangan temujanji kami selalu tertangguh kerana urusan kerjanya, aku kira itulah yang perlu aku fahami. Kerja itu juga yang akan dia lakukan jika kami hidup bersama suatu hari nanti. Lebih baik merasa sedari awal supaya kemanisan akan bertambah jika hidup bersama nanti.

*** *** ***
Telefon bimbitku berbunyi ketika jam hampir mencecah 12 malam. Terkejut dan tersenyum. Encik Sayang. Belum pulangkah dia? Selalunya dia akan lena sebaik membersihkan diri kerana dia pantang melihat katil dan bantalnya.
" sayang..."
" abang..." aku pasti dia sedang tersenyum. " abang belum balik ke?"
" dah...dalam bilik atas katil..." sekali lagi aku terkejut. Mampu pula dia bertahan dengan kepenatan kerjanya seharian hingga ke malam.
" saya ingat awak dah lena..."
" sayang marah abang ye?"
" tak...kenapa?" aku juga sama berbaring mencari ruang selesa untuk berbual dengan Encik Sayang.
" abang takut sayang marahkan abang...satu hari abang tak reply sms sayang tak call sayang...tadi pun abang call sekejap je..." biasa sekali aku mendengar bicaranya begitu. Bicara yang bagiku sangat indah dan membuatkan aku makin sayang padanya.
" tak bang...sekejap pun abang tetap call juga kan? okaylah tu...kenapa ni?" aku menyoal lagi.
" saya sayang awak...saya risau kalau awak bosan dengan cara hidup saya...dan awak tinggalkan saya..." aku senyum sendiri. Begitu sekalikah dia menyayangi aku dan hubungan kami.
" abang...awal-awal kita kenal lagi saya dah sedia maklum dengan urusan kerja kita kan...sekarang ni kita kena sama-sama belajar menerima semua yang kita ada dan baiki mana yang kurang..."
" ye...betul tu...abang bertuah dapat kenal sayang tau...sebab sayang tak pernah merungut walaupun berapa kali abang cancel date kita..."
" nak merungut buat apa bang?" aku memotong bicaranya. " buat tambah sakit hati je nanti kan?"
" sayang sakit hati dengan abang ye?" dia pula memotong.
" tak...maksud sayang...kalau merungut nanti boleh buat sakit hati...kan?lagipun abang cancel sebab kerja...alasan itu yang abang bagitau kat sayang..."
" ye sayang betul abang kerja..." aku senyum lagi ketika dia laju memotong bicaraku. " sayang jangan fikir bukan-bukan"
" dah la bang...sayang faham..."
" terima kasih sayang..."
" sama-sama abang..." aku dengar hela nafas yang lega di seberang talian.
Tidak lama kami berbual selepas daripada itu. Aku sedia maklum kalau dia kepenatan dan dia berharap punya seseorang di sisi untuk melayan dia bila sampai di rumah. Itu yang dia maklumkan kepadaku. Sungguh aku sangat faham kerana aku pernah ada dalam situasi itu hampir setahun lalu. Menunggu kepulangan orang yang tersayang. Menyambut dan melayannya sebaik mungkin. Ya indah sekali.
Kepada aku juga Encik Sayangku itu menceritakan kelelahan dengan kerenah client yang pelbagai.
" tak...lepas kita kahwin nanti abang tak bawa kerja balik rumah abang janji..." begitu jawapannya ketika aku nyatakan aku tidak gemar urusan pejabat dibawa ke rumah. Bagiku rumahtangga untuk aku dan dia dan insyaAllah anak-anak kami. Bukan untuk tempat melunaskan dan menyudahkan kerja tertangguh.
" kalau abang balik kerja pejabat tu sayang bosan..." sengaja aku mengusik.
" janganlah sayang...jangan bosan dengan abang ye sayang..." aku tergelak kecil mendengar bicara manjanya.
Ada masanya dia memang sangat manja bila berbicara. Malah kadang-kadang aku tertunggu-tunggu bicara manjanya itu. Mana tidaknya dia biasa dengan nada tenang dan banyak berseloroh setiap kali kami berbicara di telefon.
Apa juga keadaannya, aku sedang melangkah ke fasa selesa dengan kehadirannya dalam hidup aku sekarang. Seratus peratus mungkin belum lagi tapi sedikit sebanyak aku belajar memberi ruang buat aku menerima seseorang dalam hidup aku. Orang itu ialah dia, Encik Sayang aku. Aku sangat berharap kalau dia juga selesa dengan hubungan kami yang masih terlalu awal. Keselesaan hubungan dua hati bagi aku sangat sukar untuk dicipta tapi boleh dicipta. Aku dan dia jauh berbeza dari banyak segi tapi aku tahu satu perkara yang membolehkan aku dan dia bersama. Dia sayangkan aku dan aku sayangkan dia.

~zara aqeela~

No comments: