-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Monday

..:: Jatuh Cinta Lagi : Adik Fatin ::..

Lega dapat bermalas-malas di atas katil yang baru aku gantikan set cadarnya. Hadiah yang aku terima ketika majlis makan malam tahunan kolej tahun lalu. Aku senyum lagi bila terkenangkan malam yang memang bagi aku seronok sangat. Semua kakitangan yang datang memang sporting habislah dengan tema merah hitam.
~Encik Sayang : sorry sayang...saya sibuk sikit hari ini anak-anak buah balik biasalah melayan budak-budak ni bawa jalan ke KL...~ mesej pertama selepas lebih kurang 12 jam. Terasa kebiasaannya begitulah kehidupan hubungan kami. Mungkin aku susah untuk meletakkan 100% harapan untuk melayari hidup bersama dia. Encik Sayang aku.
Segar lagi bagaimana dia bercerita tentang adik bongsunya yang hanya dia kenalkan sebagai Fatin. Aku tahu dia terlalu sayangkan adiknya. Ketika itu rasanya aku memang benar-benar terkejut kerana dia memberitahu yang dia hanya tinggal bersama-sama dengan adik beradiknya kerana kedua orang tuanya yang dia sebut sebagai ayah dan ibu telah meninggal dunia.
" saya dah bagitau awal-awal kita kenal dulu awak..." begitu dia membalas dengan nada tenang ketika aku menyatakan rasa terkejut dengan ceritanya.
" ye ke? sorry...saya tak perasan kot..." aku sedikit kesal bila jelas tidak memberi perhatian terhadap ceritanya.
" tak apa awak..." dia ketawa kecil.
Jam beranjak ke angka 11.58 malam ketika aku dan dia masih segar melayan hati masing-masing. Malam itu aku rasa dia benar-benar ingin aku tahu bahawa dia amat sayangkan adiknya. Ada sedikit gusar dalam hati bila terkenangkan perkahwinan lalu yang selalu juga tersasar perasaan dengan keakraban yang keterlaluan antara dua beradik.
Ceritanya jelas memberitahu betapa dia ingin sekali siapa yang di sisinya nanti, siapa yang menjadi surinya nanti juga menerima adik Fatin seadanya. Melalui dia juga aku tahu dia bimbang kalau surinya tidak boleh menerima adik Fatin. Adiknya yang sedang meningkat umur itu baginya perlukan kasih sayang yang bukan sahaja cukup tapi lebih. Kehilangan kasih sayang ayah dan ibu seawal usia 14 tahun baginya terlalu sukar dirawat. Ya! Aku akui semua itu. Aku sedikit tidak terbayang sebenarnya kalau aku berada di tempat adik Fatin. Tapi aku yakin dia dan keluarga yang besar itu memberikan sepenuh kasih sayang buat adik Fatin.
Malam itu juga aku tahu kalau dia pernah kecewa. Maksud aku dikecewakan oleh seorang wanita yang juga dia kenali dalam laman sosial sepertimana dia mengenali aku. Disebabkan itu adik Fatin terlalu berhati-hati dengan siapa wanita yang dia pilih termasuklah aku buat masa ini.
" kalau dia tak setuju awak pilih saya...tak apa lah awak...saya faham..." begitu aku memberi reaksi ketika dia memaklumkan adik Fatin ingin mengenali aku terlebih dahulu.
" tapi awak janganlah risau...adik Fatin cuma nak yang terbaik untuk saya...maksud saya untuk kita..."
" untuk kita?" aku memotong laju.
" ye...saya ada bagitau adik Fatin pasal kita berdua..."
" awak..."
" awak tak suka ke?"
" segan..."
" ala kenapa nak segan pula ni? saya nak adik Fatin yang pertama tahu pasal kita berdua..."
" tak terlalu awal ke awak?" aku memotong lagi.
" itu lebih baik kan?" dia pula memotong.
" hhhmmm...terpulanglah pada awak...saya ikut mana yang terbaik untuk..." aku tercari-cari perkataan yang terbaik.
" untuk apa awak?"
" ye untuk...untuk..." adusss!!! Apa kena aku ni? Aku gugup ke? Banyak persoalan dari jawapan.
" untuk hubungan kita awak..."
" hhhmmm...yup...untuk tu la..." kami sama tergelak kecil. 


*** *** ***
Aku gagal lena. Lelap sepicing pun aku tak mampu. Cerita Encik Sayang tentang adik Fatin kesayangannya segar setiap butir tanpa ada yang lepa. Aku kira hubungan aku dan dia jauh lebih matang. Malah dia lebih jelas prioriti hubungan antara aku dan dia juga antara dia dan adik Fatin. Malah sering dalam perbualan kami dia mengingatkan sayang untuk adik Fatin tidak sama dengan sayang yang dia simpan untuk aku yang memberi kesan dalam hidupnya. Entah! Aku sebenarnya tidak berani meletakkan keyakinan selagi hubungan ini belum begitu pasti. Sebenarnya kerap juga dalam tempoh seminggu dua ini dia menyatakan niat dan hajatnya untuk berjumpa kedua orang tua aku. Dia tidak mahu hubungan cinta yang terlalu panjang. Kematangan usia katanya sudah cukup membuat aku dan dia berfikiran matang dalam hubungan kami berdua.
Melaluinya juga aku tahu kalau adiknya sedikit positif dengan cerita dia tentang kehadiran aku dalam hidupnya. Aku pula yang tersenyum bila dia maklumkan hajat adiknya supaya aku berhenti bekerja selepas kami bersatu. Jauh sekali anganan 'adik iparku' itu.
" kalau saya ada jodoh lagi, saya nak pastikan segala urusan antara saya dan arwah selesai terlebih dahulu..." begitu aku cuba menjawab bicaranya lewat perbualan kami. Selepas dia menceritakan tentang adik fatin dalam hidupnya.
" apa yang masih tertangguh? ada masalah ke?"
" tak...sekarang saya dalam usaha menyelesaikan apa yang masih terhutang...itu tanggungjawab saya..."
" apa guna saya melamar hati awak kalau saya tak bersama awak susah dan senang?" aku bungkam.
" ye...saya pun kena juga kumpul duit walaupun bukan untuk majlis meriah dan gah tapi tetap perlukan belanja yang bukan sikit bang..." aku cuba sedaya upaya memberitahu dia aku senang hati dengan kewujudannya dalam hati aku.
" abang tak nak dengar semua tu...sampai masanya saya jumpa keluarga awak nanti...saya sediakan semuanya awak cuma perlu bersedia untuk menjadi isteri saya...pelengkap kehidupan saya..." dia diam seketika. Aku apatah lagi. " itu pun kalau sayang sudi jadi isteri abang..." kendur.
" awak..." itu sahaja yang mampu terluah. Ketawa kecil kedengaran di hujung talian.
Aku memalingkan badan ke arah bertentangan. Entah apa yang membuatkan aku sukar lelap. Tapi yang nyata hati aku membuak-buak ingin mengenali adik Fatin kesayangan Encik Sayang aku. Sebagaimana aku memberi kesan dalam kehidupan dia begitu adik Fatin memberi kesan dalam kehidupan aku. Kalau aku boleh memupuk sayang buat dia apa salahnya aku belajar memberi kasih buat adiknya. Aku ingin sekali adik Fatin menerima aku lebih daripada dia kerana kasih sayang adik Fatin buat aku akan menguatkan cinta dan perasaan yang wujud antara aku dan dia. 
" kalau kita ada jodoh...saya harap sangat awak akan sayangkan adik saya...awak bimbinglah dia jadi wanita yang baik..." sangat segar bicara harapannya di benakku. Itulah yang ingin aku lakukan bersamanya. Mencurahkan kasih sayang yang kami kongsi bersama buat adik Fatin.

~zara aqeela~

No comments: