-tentang-page-zara-aqeela-

)( kehidupan adalah sebuah cerita untuk dikongsi bersama...kita berhak memilih bagaimana ianya patut dikongsi...dan di sini kita berkongsi cerita kehidupan dalam sebuah penulisan )(

Tuesday

..:: Jangan Berhenti Mencintai Aku 3 ::..

 “ Nur...” terbang segala yang berlayar di kotak fikiran. Aku memaksa sebuah senyuman ketika Hani jelas kebimbangan. Alangkah bertuahnya aku mempunyai teman seperti Hani dan Amir suaminya yang sangat memahami. Kami hanya berdua menuju ke deretan gerai yang telah banyak berubah berbanding saat kami menjalani kehidupan kampus lebih kurang 10 tahun lalu. Sememangnya aku tidak mampu menepis segala kenangan. Perjalanan 45 minit dari rumah Hani cukup membuai segala perasaan yang aku tinggal pergi ketika menamatkan pengajian.
“ 10 tahun Hani aku tinggalkan...” aku dapat lihat jelas Hani menganggukkan kepala dan tersenyum. Biarpun aku tidak menghabiskan bicaraku tadi, aku amat yakin Hani faham apa yang aku maksudkan. Kami beriringan masuk ke gerai makan yang suatu masa dulu tempat aku dan dia bersantai-santai. Kadangkala berdua, ada masa bersama teman-teman lain. Sungguh terasa dadaku sesak sekali ketika angin yang bertiup melintangi Bandar Universiti saat itu bagai membawa segala bayangan dan suara yang cuba aku hindarkan.
“ nama je dah tukar Nur, tapi tetap best macam 10 tahun dulu...” aku tahu Hani sedang menenangkan perasaanku. Aku bagai tidak mampu melakukan apa pun jua. Sehingga Hani yang membantu aku membuat pesanan. Airmata yang kutahan-tahan akhirnya mengalir perlahan memecah tembok ketabahan yang cuba aku pertahankan. Hani menggenggam erat tanganku memberi kekuatan.
“ aku rindu Hani...semua...segala-galanya...” aku mengesat perlahan airmata yang mengalir.
“ sabarlah Nur...” nada suara Hani turut berubah memaksa aku membalas genggaman tangannya lebih erat memberi isyarat dia benar-benar sedang memberikan aku kekuatan. Sungguh aku merasainya. Akhirnya, Hani berjaya membawa aku kepada kenangan-kenangan indah yang membuatkan aku tersenyum dan ketawa. Hani sememangnya sahabat terbaik yang pernah aku ada. Sungguh aku memohon agar Allah memayungi kehidupannya di dunia dan akhirat.
Kami beransur pulang sekitar jam 11.15 malam ketika aku mula tersedar Hani punya suami dan anak-anak. Betapa Amir suaminya sungguh mengerti keperluan masa dan ruang peribadi antara aku dah Hani. Malah, ketika Rauf meninggalkan aku buat selamanya 3 tahun lalu, Amir dengan senang hati  memandu Hani yang ketika itu sedang mengandungkan anak keduanya ke Kuala Lumpur demi memberikan aku sokongan. Malah, rumah keluarga mertuaku turut disinggahi ketika aku merasakan aku tidak mahu lagi melihat dunia saat Rauf membuatkan aku melalui detik-detik kesakitan itu buat kesekian kalinya.
“ sorry Amir...terleka...” sungguh aku benar-benar rasa bersalah ketika melihat Amir masih menunggu Hani di ruang tamu.
“ tak apa...nak tunggu bola ni pun...Nur okay ke?” aku hanya mampu menganggukkan kepala dan memujuk hati agar airmata tidak tumpah di depannya. Aku segera berlalu ke bilik tamu memberi ruang buat Hani dan Amir berdua-duaan.

***        ***        ***

“ how do you feel?” aku hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala. Cermat sekali doktor muda itu memegang tanganku saat membaca denyutan nadi. Beralih memeriksa pernafasan.
“ bila saya boleh balik?” ada kaget pada wajah doktor muda itu. Rauf. Itu yang tertulis pada tanda nama yang dipakai di kemeja pink berjalur putih.
“ dua atau tiga hari lagi...” aku mengangguk lagi. Pertama kali hadir menerima rawatan di sini, aku dikawalselia oleh seorang doktor yang lain. Tetapi, sejak setahun yang lalu aku sudah diletakkan di bawah seliaan doktor Rauf. Alhamdulillah aku senang dibawah jagaannya. Mungkin kerana dia hampir sebaya dengan adikku Ameen. Beza setahun rasanya.
“ doktor...”
“ Rauf...panggil saya Rauf...” dia membalas. Perlahan sekali. “ kenapa?”
“ saya nak jalan-jalan kat taman bawah tu boleh?” aku mengeluh panjang ketika dia tersenyum dan menghalang. “ boring...” aku membalas.
“ jangan bahayakan diri awak Ameena...” kali ini ada nada aneh dalam dadaku. Aku akhirnya mengalah kerana sememangnya aku tahu akibatnya. Sungguh aku merasakan Allah amat menyayangiku kerana memberikan dugaan sebegini. Menurut mama, aku dikesan menghidap tumor sejak berusia 11 tahun. Kerap diserang sakit kepala dan muntah tanpa sebab membuatkan mama dan papa membawa aku mendapatkan rawatan pakar. Malah, ketika usia 14 tahun, aku hampir-hampir kehilangan daya penglihatan selepas manjalani terapi dan pembedahan kecil. Tapi berkat kesungguhan mama memberikan dorongan dan semangat aku berjaya menjalani kehidupan seperti sediakala. Mujurlah, mama dan papa punya kemampuan memberikan aku pendidikan. Aku lewat menghabiskan persekolahan berbanding teman seusiaku.
            Aku bangun perlahan menuju ke tepi jendela. Menguak langsir meninjau suasana di taman. Melihat anak-anak kecil berkeliaran dan berlari riang. Beberapa pesakit di atas kerusi roda pesakit disorong menyusuri taman yang sedang-sedang sahaja keluasannya.
“ assalamualaikum sayang...” aku menoleh dan tersenyum menjawab salam mama dan papa. Alangkah terkejutnya aku melihat tetamu yang datang bersama.
“ Kak Eemani...I miss you so much...” tentu sahaja aku tidak menyangka kakak kesayangnku Nur Eemani yang menetap di United Kingdom ada bersama.
“ miss you too...how are you today?” kami masih berpelukan dengan airmata yang berlinangan. Sememangnya aku amat rapat dengan kakakku ini. Pelukan dan linangan airmata itu amat besar maknanya kerana sesungguhnya kepada dialah aku mencurahkan segalanya. Kerinduan dan kepedihan berpisah dengan Andy tidak pernah surut biarpun peristiwa itu telah berlalu hamper lima tahun dulu. Nur Eemani satu-satunya kakakku. Dia menetap di United kingdom sejak berkahwin kerana mengikut suaminya Haizam. Aku bersalaman dengan Abang Haizam yang sedang mendukung anak mereka yang kedua Farouq baru berusia 7 bulan. Leyana anak sulung mereka bersalam dan mencium tanganku. Dia Nampak matang walaupun baru berusia 5 tahun.
“ abang?” demi Allah aku bagai sudah sihat sepenuhnya saat melihat abang sulungku Eeman turut berdiri di muka pintu. Abangku Eeman menguruskan perniagaan papa di Birmingham, London. Dia memang abang yang baik dan sangat bertanggungjawab baik kepada keluarganya mahupun keluarga kami. Salam berganti pula dengan kakak iparku Indah Karina. Aku tersenyum melihat anak sulung mereka Armand berusia 3 tahun yang nampak malu-malu.  Dia mendakap aku dan kakakku sekaligus. Aku dapat lihat airmata mama mengalir ketika papa mendakapnya.
Sememangnya seluruh keluarga sering memberikan aku seluruh kekuatan. Sehingga adik bongsuku Ameen juga bagaikan seorang abang buatku. Aku tidak akan lupa bagaimana dia memujuk mama dan papa untuk mendapatkan lesen memandu motorsikal ketika genap usianya mencecah angka 16 belas tahun dengan alasan dia tidak mahu aku ke mana-mana dengan menaiki teksi atau bas. Malah, ketika genap usianya 17 tahun, sekali lagi mama dan papa terpaksa akur dengan kemahuannya untuk mengambil lesen kereta kerana ingin menemaniku bersama.
“ bila abang dengan Kak Eeman sampai?” aku bersuara ketika keadaan kembali reda. Ketika itu, aku sudah menarik anak abangku Armand ke pangkuan.
“ pagi-pagi tadi sampai KLIA...akak sampai awal 30 minit lebih kurang...kan sayang?” aku lihat abang iparku mengangguk dan tersenyum. Abang iparku Haizam sibuk menghalang anak kedua mereka Erina yang berlumba-lumba ingin memanjat katil. Mereka sama-sama berada di United Kingdom kerana menyambung PHD. Sebenarnya, abang iparku seorang pengusaha kontena di sana.
“ Ameen mana?” seketika aku teringatkan adikku.
“ parking...” kata-kata mama terhenti ketika adik bongsuku Ameen memberi salam.
“ doktor kata nak ambil darah...” Ameen mendekati mama dan papa di penjuru katil. Kakak dan abangku bangun dari birai katil ketika doktor Rauf dan dua orang jururawat sudah memasuki bilik. Aku memandang doktor Rauf yang terlebih dahulu berjabat salam dengan papa, abang Eeman, abang Haizam dan Ameen.
“ lepas ni awak rest sekejap dalam 2 jam...lepas tu boleh makan okay...” doktor Rauf memaklumkan. Perlahan sahaja seakan berbisik. Aku menganggukkan kepala dengan maklumat yang aku sudah sedia maklum. “ terkejut saya tengok semua ada...” doktor Rauf menyambung lagi. Kali ini lebih perlahan seakan dia memang tidak mahu keluargaku mendengarnya.
“ tutuplah tirai tu kalau doktor segan...” aku mengusiknya.
“ biarlah family awak tengok saya rawat anak dia betul-betul...manalah tahu dia nak ambil buat menantu...” aku lihat doktor Rauf tersenyum. Terasa pipiku panas diusik begitu sementelah kedua-dua jururawat yang membantunya turut tersenyum.
“ is she okay doctor?” papa yang pertama mendekati selepas kedua-dua jururawat melangkah keluar.
“ insyaAllah...tekanan darahnya tak stabil beberapa hari lepas...hari ni nampak semakin baik...” penjelasan doktor Rauf semakin tidak jelas di pendengaranku bila aku semakin lali dengan suntikan yang diberi sebentar tadi.

~zara aqeela~

No comments: